16 Jun 2008

PEMANTAUAN PSS DI STTA

Bukit Gambir, 17 Jun, 2008 (Selasa) - Pusat Kegiatan Guru Daerah Ledang dengan kerjasama Pusat Kegiatan Guru Daerah Muar akau membuat pemantauan Pusat Sumber Sekolah di SMK Tengku Temenggung Ahmad, Kundang Ulu hari ini. Tujuan pemantauan ini adalah untuk meninjau sejauh mana sekolah tersebut memerlukan khidmat bantu yang akan dilaksanakan oleh Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Johor dan seterusnya membuat perancangan dan startegi bantuan dan khidmat bantu yang akan dilaksanakan di sekolah ini.

12 Jun 2008

HARI TERBUKA SK LEDANG


Tangkak, 13 Jun, 2008 (Jumaat) - Sekolah Kebangsaan Ledang telah mengadakan Hari Terbuka pada hari ini. Menurut Guru Besarnya, Puan Hajjah Rosmizan bte Jamaluddin, program ini diadakan khas untuk memberi peluang kepada guru-guru dan ibubapa berbincang bagi membantu pelajar-pelajar dalam mempertingkatkan pelajaran masing-masing.

Program seperti ini akan terus diadakan pada setiap tahun kerana ianya amat memberi kesan yang baik dalam pencapaian akademik sekolah ini.

MESYUARAT PENYELARASAN KHIDMAT BANTU PSS DAERAH MUAR



Bukit Gambir, 11 Jun, 2008 (Rabu) - Satu mesyuarat penyelarasan Program Khidmat Bantu Pusat Sumber Sekolah Daerah Muar telah diadakan di Pusat Kegiatan Guru Bukit Gambir, Ledang. Mesyuarat tersebut dihadiri oleh semua Pegawai Teknologi Pendidikan DGA32 dan DGA29, dari Pusat Kegiatan Guru Daerah Muar. Turut hadir sama, Penolong Pengarah Unit PSP, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Johor (BTPNJ), En. Azman bin Ahmad.

Fokus perbincangan berkisar kepada Program Khidmat Bantu PSS di SMK Tengku Temenggung Ahmad, Kundang Ulu, Ledang. Pihak BTPNJ telah memilih SMK Tengku Temenggung Ahmad sebagai sasaran untuk mempertingkatkan kualiti pengurusan, pengisian dan prasarana PSS sekolah tersebut. Program tersebut dijangka akan dilaksanakan pada penghujung bulan Julai atau awal Ogos tahun ini.

05 Jun 2008

PTP PKG LENGA BARU

Muar, 5 Jun, 2008 (Khamis) - Pusat Kegiatan Guru Lenga telah menerima seorang Pegawai Teknologi Pendidikan Gred DGA 29 yang baru. Beliau ialah En Abd Hadi bin Md Zin. Sebelum ini beliau berkhidmat di SK LKTP Felda Batu 27 Lenga sejak dari tahun 2004 (penempatan pertama).

Nak gambar? nanti dulu...lum ada

04 Jun 2008

BENGKEL MEMBINA INSTRUMENT SSQS


Tangkak, 05 Jun, 2008 (Khamis) - Satu bengkel membina instrument SSQS (Smart School Qualification Standard) dalam memberi pengiktirafan 5 bintang kepada sekolah-sekolah negeri Johor diadakan di Pusat Kegiatan Guru Parit Bunga, Muar.


Sasaran kali ini ialah Sekolah Menengah Sains Muar yang akan diberi khidmat bantu pada 06 Jun, 2008 (Jumaat ini).


Seramai 15 Pegawai Teknologi Pendidikan daerah Muar terlibat dalam bengkel ini yang dipengerusikan oleh Tuan Hj Abdul Rahman bin Giman, Pegawai Teknologi Pendidikan, Unit Bestari, Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri Johor. Turut hadir sama En. Roslan bin Hassan, Pegawai Teknologi Pendidikan BTPN Johor.


BENGKEL PPSMI - GURU PEMULIHAN KHAS

4 Jun, 2008 (Rabu) - Tangkak - Satu bengkel untuk guru-guru PPSMI Pemulihan Khas diadakan di Pusat Kegiatan Guru Tangkak, Johor bermula dari 2 Jun, 2008 hingga 5 Jun, 2008. Seramai 40 peserta terlibat di dalam program tersebut anjuran Pejabat Pendidikan Daerah Muar.

Turut terlibat guru-guru ahli di PKG Parit Bunga, PKG Bukit Gambir dan PKG Lenga.

Harga Minyak Petrol Naik


Harga petrol naik sebanyak 78 sen - satu pertambahan besar dari RM1.92 sekarang kepada RM2.70. Demikian diumumkan oleh perdana menteri petang tadi. Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga mengumumkan harga minyak diesel pula naik kepada RM2.58 - naik RM1 berbanding harga sekarang sebanyak RM1.58 seliter. Kenaikan sebanyak 41 peratus bagi petrol dan 63.3 peratus bagi diesel akan berkuatkuasa mulai tengah malam ini.

Perdana menteri juga mengumumkan pemberian rebet kepada pengguna kenderaan. Bagi pemilik kenderaan persendirian, berkapasiti enjin sehingga 2000cc serta 'trak pick-up' dan jip berkapasiti enjin sehingga 2500cc, bayaran tunai sebanyak RM625 setahun bagi setiap kenderaan, akan diberikan.Bagi pemilik motosikal persendirian, berkapasiti enjin sehingga 250cc, bayaran tunai RM150 setahun.

Bayaran tunai diberi apabila pemilik kenderaan dan motosikal membayar atau memperbaharui lesen kenderaan bermotor. Bayaran ini meliputi kenderaan dengan cukai jalan yang berkuatkuasa 1 April 2008 hingga 31 Mac 2009.

Bayaran ini ditunai dalam bentuk kiriman wang (money order) di pejabat Pos di seluruh negara mulai 1 Julai 2008.

Bagi pemilik kenderaan dan motosikal yang tidak termasuk dalam kategori bayaran tunai tersebut, kabinet memutuskan untuk mengurangkan cukai jalan mengikut kadar berikut, berkuatkuasa 1 Jun. Bagi pemilik kenderaan persendirian petrol dan diesel berkapasiti enjin melebihi 2000cc, cukai jalan akan dikurangkan sebanyak RM200. Bagi motosikal persendirian berkapasiti enjin lebih 250cc, cukai jalan akan dikurangkan sebanyak RM50 tertakluk kepada cukai jalan minima RM2.

03 Jun 2008

TANGKAK JADI DAERAH LEDANG


Tangkak, 04 Jun, 2008 (Rabu) - Tangkak akan diisytiharkan sebagai Daerah Ledang pada 09 Jun, 2008 (Isnin) nanti. Perisytiharan ini akan dilakukan oleh Duli Yang Maha Mulia Baginda Al-Mutawakkil Alallah Sultan Iskandar Al-Haj ibni Almarhum Sultan Ismail Al-Khalidi di Dataran Ledang, Tangkak, Johor.
Turut dijangka hadir, Sultanah Johor, Tengku Zanariah binti Tengku Panglima Raja Ahmad, Tengku Mahkota Johor dan adindanya serta YAB Dato' Menteri Besar Johor dan isteri.
Pelbagai aturcara telah diatur bagi memeriahkan majlis perisytiharan tersebut.

SELAMAT DATANG KE LAMAN BLOG PKG TANGKAK

Kami mengalu-alukan kesudian tuan melayari laman blog ini.